Konstabel pelatih maut disyaki
strok haba
18 Mac 2016 1:43 AM
SEGAMAT 17 Mac – Seorang
pelatih konstabel di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dipercayai menjadi
mangsa pertama yang maut akibat strok haba pada tahun ini.
GAMBAR kenangan arwah Azizan Ayob bersama
ibu bapanya, Ayob Ahmad dan Norhayati Shamsudin ketika melaporkan diri di Pusat
Latihan Polis di Segamat, Johor.
Mangsa, Azizan Ayob, 23,
yang tiba-tiba rebah ketika menjalani latihan kelmarin meninggal dunia di
Hospital Segamat (HS) pada pukul 10.26 malam semalam.
Menceritakan kejadian,
pegawai penyelaras Program Latihan Asas Kepolisan Pulapol Segamat, Asisten
Superintenden Abu Bakar Ngah berkata, mangsa menjalani orientasi pengenalan
kawasan latihan yang terakhir di padang kawad Pulapol dengan membuat larian
ringan kelmarin.
“Belum pun masuk pusingan
kedua, pelatih tersebut tiba-tiba pitam. Dia sempat dibantu oleh rakan-rakan
pelatih lain dan dipapah keluar dari padang kawad sebelum dikejarkan ke Klinik
Kesihatan Batu Anam.
“Melihat keadaannya yang
agak lemah, dia kemudian dikejarkan pula ke HS,” katanya kepada Utusan Malaysia
hari ini.
Abu Bakar memberitahu,
mangsa yang berasal dari Melaka itu kemudiannya ditempatkan di Unit Rawatan
Rapi (ICU) sebelum pihak Pulapol Segamat memaklumkan kejadian kepada bapa
mangsa, Ayob Ahmad yang juga merupakan seorang pesara polis.
Menurutnya, mangsa
disyaki mengalami strok haba berdasarkan situasi yang dialami dan bapa mangsa
juga ada memaklumkan bahawa anaknya itu turut mempunyai penyakit sawan serta mengalami
demam beberapa hari sebelum melaporkan diri di Pulapol Segamat.
Ujarnya, malam semalam
pihak hospital telah memaklumkan tentang kematian pelatih kepada keluarga serta
pihak Pulapol sebelum jenazah diurus dan dihantar pulang ke kampung halamannya
di Melaka untuk dikebumikan hari ini.
“Jenazah mangsa
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu Kecil, Melaka dan pihak
Pulapol Segamat mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi ini.
“Ekoran insiden ini,
pihak hospital telah memanggil pihak pengurusan Pulapol untuk memaklumkan
perkembangan dan langkah yang perlu diambil ketika musim panas ini bagi
mengelakkan kejadian sama berlaku kepada 463 pelatih lain,” katanya.
- See more at:
http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/konstabel-pelatih-maut-disyaki-strok-haba-1.201817#sthash.F4HJW8Sp.dpuf
No comments:
Post a Comment