Tuesday, 9 February 2016

Khasiat delima untuk kesihatan

DELIMA mempunyai khasiat tinggi untuk kesihatan khususnya perut.
BUAH delima tidak seperti epal yang gemar dijadikan snek dalam diet pemakanan sihat bagi sesetengah orang. Biarpun harganya sedikit mahal, namun buah kegemaran Nabi Muhammad SAW itu mempunyai khasiat tinggi untuk kesihatan khususnya perut.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Makanlah buah delima dengan isinya, kerana ia dapat mencuci penghadaman. – Riwayat Imam Ahmad.
Dari aspek klinikal, pasukan penyelidik di University of Edinburgh juga bersetuju bahawa buah delima mempunyai keupayaan untuk mengurangkan lemak yang disimpan di sekitar perut sekali gus menghilangkan obesiti lemak.
Amalan pemakanan delima dikatakan dapat mengurangkan kebarangkalian pertumbuhan sel-sel adipos di perut dan mengurangkan asid lemak dalam darah, seterusnya merendahkan tekanan darah yang menghalang strok, serangan jantung dan buah pinggang.
Bagi tujuan perubatan, buah delima juga dapat merawat dan melegakan demam panas, sakit kepala, masalah penglihatan selain mengaktifkan saraf-saraf dalam tubuh bagi menangani masalah kelesuan dan keletihan.
Malah dalam perubatan homeopati, buah delima juga dikatakan mampu bertindak sebagai penawar baik untuk masalah cirit-birit, anaemia, tekanan darah tinggi dan artritis.
Bagi sesetengah masyarakat di Asia Barat pula mereka beranggapan buah delima adalah salah satu simbol kesuburan dan panjang usia.
CHE PUTEH OMAR

Nilai, Negeri Sembilan
http://www.utusan.com.my/rencana/forum/khasiat-delima-untuk-kesihatan-1.202822

No comments:

Post a Comment