* AA, Kuala Lumpur
UKE: Bukan semua mimpi mempunyai makna. Ia bergantung pada masa atau waktu anda bermimpi. Ada mimpi yang merupakan mimpi baik dan benar.
 Ada juga mimpi gangguan daripada syaitan dan ada juga sekadar mainan tidur. Untuk menjawab persoalan anda, maka hendaklah diperincikan bila anda bermimpi sebegitu. Awal malam atau siang hari? Mimpi yang ada malam ialah mimpi selepas tengah malam, bukan awal malam atau siang hari.
 Mimpi dibaham ular adalah satu bentuk mimpi daripada syaitan yang ingin mengganggu emosi anda. Sebab itu, mimpi begitu jangan dihebohkan dan selepas terjaga dari tidur, pergilah berwuduk dan tidur di tempat lain.
Suami tak beri nafkah
Saya sudah hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata berumur empat tahun. Sepanjang perkahwinan, suami tidak pernah memberi saya duit belanja harian dengan alasan saya bekerja. Suami tidak pernah menyediakan makan minum kami memandangkan kami tinggal bersama dengan ibu bapa saya. Apakah hukumnya sekiranya suami tidak memberikan duit nafkah kepada kami anak-beranak? Suami hanya memberi duit belanja sekiranya saya yang meminta, itupun secara harian.
* Lin, Klang.
UKE: Lin, saya bersimpati dengan nasib anda. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anaknya walaupun si isteri bekerja. Berdosa si suami tidak memberi nafkah kerana ia adalah hak mutlak seorang isteri. Mungkin suami anda beranggapan anda bekerja maka dia tidak perlu beri nafkah. Maka anda perlu menerangkan kepadanya atau meminta khidmat nasihat daripada pejabat agama untuk menasihati suami anda. Dalam tempoh ini segala bil dan perbelanjaan rumah anda jangan bayar dan bil tersebut serahkan kepada suami jelaskannya.
Bab nafkah harian anda minta sahaja, jangan segan kerana itu adalah hak anda dan anak-anak. Anda tak perlu bermurah hati nak tanggung segala-galanya sehingga suami lepas tangan. Anda hanya membantu suami apabila dia sudah tak mampu atau memohon pertolongan, bukannya anda yang tanggung semua perbelanjaan rumah tangga.
Tak faham beza tuhan dan Allah
Apakah beza antara Allah dengan tuhan dalam syahadah. Dalam syahadah kita menafikan tiada tuhan melainkan Allah yang wujud dan tidak boleh disyirikkan dengan yang lain. Di sisi lain disebut “Ya Allah ya tuhan-ku.” Saya tidak faham. Tolong jelaskan ustaz.


* Fida, Cheras.
UKE: Perkataan tuhan itu adalah bahasa Melayu. Dalam bahasa lain macam-macamlah sebutannya pula. Tuhan itu sebutan secara umum sedangkan Allah itu khas. Tuhan adalah yang menciptakan sekalian alam dan yang berkuasa atas segala-galanya. Dia adalah tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tuhan adalah tempat kita bermohon dan berlindung. Tuhan cuma satu dan nama tuhan sekalian alam ialah Allah. Allah adalah nama tuhan kita.
 Senang saja nak faham, kita ini makhluk, kita ini manusia dan setiap makhluk ada nama.   
Manusia ini perkataan dalam bahasa Melayu. Kalau dalam bahasa lain, lain pula sebutannya. Setiap manusia ada nama. Sebutan manusia itu adalah umum dan namanya adalah nama khas. Anda adalah manusia dan nama anda ialah Fida. Saya pun manusia dan nama saya Kazim. Tuhan itu nama selain daripada makhluk dan nama tuhan kita ialah Allah. Boleh faham?
Baca tahlil guna telefon

Bolehkah saya membaca tahlil menggunakan telefon semasa menziarahi kubur kedua-dua orang tua saya kerana saya tak berapa mahir?
* Ida, Seremban.
UKE: Boleh, sekarang kan sudah ada buku bacaan tahlil doa dan surah Yasin. Anda baca sajalah buku tersebut. Pergi beli di kedai kitab ya.

http://www.utusan.com.my/rencana/agama/mimpi-di-baham-ular-sawa-1.202616