Friday, 12 February 2016

WANITA BUKAN OBJEK SEKS


PERTENGAHAN Mei lalu, kita dikejutkan berita gadis berusia 18 tahun dari Indonesia, Enno Pariah yang dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki dikenali mangsa dengan memasukkan batang cangkul sedalam 60 sentimeter sehingga menyebabkan kecederaan pada organ hati dan paru-paru.

Berita yang menjadi viral di laman sosial itu sememangnya mengundang kemarahan masyarakat dunia apatah lagi motif pembunuhan berkaitan hawa nafsu, cinta dan dendam. Berdasarkan laporan Merdeka.com, ketiga-tiga suspek termasuk seorang daripada mereka dikatakan teman lelaki mangsa itu bakal berdepan hukuman gantung sampai mati.

Apa yang menyedihkan, ketiga-tiga suspek dan mangsa adalah Muslim. Ketika ini pun banyak kes jenayah termasuk rogol melibatkan orang Islam. Tidak dinafikan, antara faktor yang mendorong jenayah rogol akibat terpengaruh dengan bahan-bahan lucah yang mudah diakses daripada media sosial.

Perkara-perkara larangan dalam agama boleh dicegah jika umat Islam khususnya kaum lelaki menghormati dan mengasihi kaum wanita seperti mana sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu sekalian (kaum lelaki) memukul hamba Allah (kaum wanita)”.
- Riwayat Abu Daud.

Islam sangat menekankan agar kaum Adam menjaga kaum Hawa lain seperti keluarga sendiri, jangan hanya memandang wanita sebagai objek seks semata-mata. Bagi kaum Hawa pula, mereka dianjurkan menyemat sifat berwaspada dan berhati-hati dengan semua lelaki tidak mengira siapa mereka.

Dunia kini semakin parah dan itu menunjukkan manusia kini berada di akhir zaman yang kemungkinan besar Islam tinggal pada nama sahaja. Hanya ilmu dan agama boleh menyelamatkan generasi kita yang semakin jahil. Semoga tragedi menimpa Enno itu tidak diambil remeh dan dijadikan iktibar kepada semua umat Islam.

SHARIFAH AL-AIDRUS SHEIKH ABU BAKAR
Universiti Sains Islam Malaysia


SUMBER:www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment